Tertuduh, Mohd. Khairul Izwan Mohd. Zin, 32, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Nazri Ismail.

Lelaki itu didakwa menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata kayu berpaku sepanjang 80 sentimeter terhadap Mohd. Zulkhairi Abdul Kadir, 41.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di alamat Cabang 3, Kampung Wakaf Bunut, Selising, Pasir Puteh, dekat sini pada pukul 9 malam, 11 Julai lalu. 

Pendakwaan tersebut dilakukan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norazlinawati Mohd. Arshad manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM35,000 dengan dua penjamin dan menetapkan tarikh 9 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Tertuduh tidak membayar wang jaminan tersebut dan dihantar ke Penjara Pengkalan Chepa di sini.

Semasa kejadian tertuduh menjaga kebun tersebut dan dalam pergaduhan itu tertuduh dipercayai memukul mangsa dengan kayu hingga patah tangan kiri. - K! ONLINE