Sebelum dikebumikan, jenazah dimandikan di rumahnya di Batu 3 1/2 Jalan Gambang dan disembahyangkan dengan diimamkan Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman.

Mokhtar, 81, meninggal dunia pada pukul 4.58 petang semalam ketika mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini kerana kegagalan buah pinggang, lemah jantung serta paru-paru berair.

Semasa hayatnya, Mokhtar pernah menjadi perunding bagi pihak Kerajaan Malaysia dalam peristiwa peletakan senjata oleh Parti Komunis Malaya pada 1989.

Selain itu, Allahyarham turut pernah berkhidmat sebagai setiausaha akhbar kepada tiga Menteri Besar Pahang termasuk Datuk Seri Najib Tun Razak pada Mei 1982 hingga Ogos 1986.

Kira-kira 150 termasuk saudara mara, sahabat serta jiran turut hadir memberi penghormatan terakhir kepada Mohktar ketika pengkebumian. - K! ONLINE