Tertuduh Zamrud Mansor, 77, dan anaknya, Hazizul, 44, mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan tersebut yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Mohd. Nasir Noordin. 

Mengikut pertuduhan satu hingga lima, kedua-dua tertuduh didakwa dengan niat bersama memindahkan wang dan menerima faedah sebanyak RM1.225 juta yang merupakan hasil aktiviti haram milik syarikat Misdec Resources Sdn. Bhd. (MRSB) ke dua syarikat iaitu Digicity (M) Sdn. Bhd. dan I & R Precision Engineering Sdn. Bhd. bagi tujuan peribadi. 

Tindakan itu dilakukan oleh kedua-dua tertuduh di CIMB Bank Berhad, No. 30 dan 32, Jalan Mutiara Melaka 2, Batu Berendam di sini antara 9 Oktober 2014 dan 3 Ogos 2016. 

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi. 

Sementara itu di mahkamah sama, Hazizul turut berdepan satu lagi pertuduhan memindahkan wang berjumlah RM20,000 dari akaun CIMB Islamic Bank Berhad ke akaun Maybank milik Misdec di alamat sama pada 14 April 2015. 

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM100, 000 setiap tertuduh dan menetapkan 9 April depan untuk serahan dokumen. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Irwan Shah Abdul Samat dan peguam Azrul Zulkifli Stork mewakili kedua-dua tertuduh. - K! ONLINE