Perintah reman sehingga Sabtu ini terhadap lelaki berusia tahun 64 tahun dan wanita berusia 32 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret di sini sebentar tadi.

Perintah reman itu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan pegawai badan awam.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Terdahulu, kedua-dua individu itu tiba di Mahkamah Majistret di sini kira-kira pukul 9.00 pagi dengan memakai baju lokap berwarna oren selepas ditahan sewaktu memberi keterangan di ibu pejabat SPRM pada pukul 5.20 petang semalam.

Pada 11 Jun tahun lalu, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab mengesahkan bahawa SPRM telah merampas dokumen-dokumen tertentu semasa kunjungan ke ibu pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan di Putrajaya. 

Sementara itu, menurut sumber, lelaki itu dipercayai menggunakan jawatan dan kedudukannya untuk mencadangkan sebuah syarikat secara lantikan terus dalam projek Kempen Pengiklanan Digital bagi Pasaran China dalam tempoh 2018 hingga 2020.

Projek kempen yang dianggarkan berjumlah lebih RM99 juta itu menggunakan peruntukan agensi kerajaan tersebut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua individu itu. - K! ONLINE