Majistret Atikah Abu Hassan membenarkan kedua-duanya dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM50,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Kedua-duanya membayar jaminan yang ditetapkan oleh mahkamah.

Terdahulu, kedua-dua suspek tiba di kompleks mahkamah kira-kira pukul 9 pagi dengan menaiki kenderaan secara berasingan.

Suspek lelaki yang memakai kemeja berwarna hitam tiba dengan ditemani peguamnya serta seorang pegawai SPRM.

Sementara itu, suspek wanita pula memakai jaket berpenutup kepala bewarna hitam dan dibawa dua pegawai SPRM dengan tangan bergari.

Kosmo! baru-baru ini melaporkan, bekas Pengerusi Tourism Malaysia dan seorang ketua pegawai eksekutif wanita sebuah syarikat swasta ditahan reman selama empat hari bermula Rabu hingga hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.

Perintah reman itu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan pegawai badan awam.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan. - K! ONLINE