Bagaimanapun tertuduh Rohaizat Ahmad, 54, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi. 

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-16, Rohaizat didakwa menggunakan jawatan dan kedudukan untuk mendapatkan suapan dengan melantik syarikat Al Maisan Enterprise milik menantunya antaranya sebagai pembekal peralatan elektronik, pembekal sumbangan cenderahati, rakan strategik program latihan kemahiran, pembekal baju kurung dan tshirt berkolar. 

Sementara bagi pertuduhan ke-17 hingga ke-33, beliau didakwa melakukan perbuatan sama dengan melantik syarikat Hexa Tech Pride yang merupakan syarikat milik anaknya sebagai pembekal antaranya cenderahati korporat, telefon pintar, projektor, komputer riba, barangan elektronik dan sebagai konsultan program keusahawanan. 

Kesemua pertuduhan itu membabitkan jumlah RM1.64 juta itu didakwa dilakukan di Felcra Training & Consultancy Sdn. Bhd., No 22, Jalan Rampai Niaga 4, Rampai Business Park di sini antara 23 April 2014 hingga 27 Jun 2018. 

Bagi kesemua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) 2009 dan boleh dihukum bawah seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. 

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat mencadangkan ikan jamin RM150,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM. 

Bagaimanapun peguam Hamidi Mohd. Noh yang mewakili tertuduh membantah jumlah ikat jamin itu kerana terlalu tinggi. 

“Anak guam saya mempunyan enam orang anak dan isteri. Dia yang memperoleh pendapatan RM8,000 hingga RM9,000 perlu menanggung empat anaknya yang masih belajar dengan dua daripadanya menuntut di luar negara,” katanya dan menambah tertuduh mempunyai penyakit darah tinggi dan kencing manis.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Azura kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM80,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah selain melaporkan diri di Pejabat SPRM di Putrajaya sebulan sekali.

Mahkamah kemudian menetapkan 10 Oktober ini untuk sebutan semula kes itu. - K! ONLINE