Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Khalid, 58, disabitkan dengan 18 pertuduhan masing-masing 13 pertuduhan menerima suapan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan lima pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram (Amla) 2001 (Akta 613).

Tertuduh dijatuhi hukuman penjara 15 bulan bagi setiap 18 pertuduhan itu dan turut dikenakan denda keseluruhan berjumlah RM36 juta atau 25 bulan penjara jika gagal bayar bagi pertuduhan di bawah Akta Amla.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan kesemua hukuman penjara berjalan serentak dari tarikh jatuh hukum hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan satu hingga 13, tertuduh sebagai seorang penjawat awam iaitu Pengarah JKR Melaka didapati telah menerima suapan daripada lapan syarikat dan individu bernilai RM196,200 di dalam daerah Melaka Tengah pada Mac 2014 sehingga Ogos 2016.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, tertuduh juga didapati telah melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram dari akaun Amanah Saham Wawasan 2020 (RM1,984,797.08), Tabung Haji (RM506,735.92), Amanah Saham Didik (RM2,135,634.13) dan Amanah Saham Bumiputera 2 (RM206,396.16) bernilai keseluruhan RM5,208,763.29 di dalam daerah Melaka Tengah antara 1 September 2015 hingga 15 Ogos 2016.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Amla yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan atau RM5 juta ringgit mengikut mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, Peguam Datuk Baljit Singh yang mewakili tertuduh memberitahu dalam rayuan bahawa anak guamnya telah berkhidmat selama 34 tahun dan memohon penangguhan perlaksanaan hukuman bagi mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Akram Abdul Gharib dan Mohd. Khairulhazman Ghazali bagaimanapun tidak bersetuju, namun menyerahkan mahkamah untuk menentukannya.

Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, Mohd. Nasir membenarkan permohonan penangguhan itu dan memerintahkan notis rayuan kepada Mahkamah Tinggi dalam tempoh tujuh hari selain mengekalkan nilai jaminan terdahulu sebanyak RM250,000.

Sepanjang prosiding bermula pada 27 Mac 2017, seramai 45 saksi pihak pendakwaan dan lima saksi pihak pembelaan telah dipanggil memberi keterangan. - K! ONLINE