Majistret Analia Kamaruddin mengeluarkan perintah reman sehingga 14 Januari terhadap suspek yang berumur 31 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Suspek yang memakai baju lokap tiba di pekarangan Mahkamah Ayer Keroh di sini kira-kira pukul 9.30 pagi sebelum diiringi keluar oleh pegawai SPRM sejam kemudian.

Menurut sumber, lelaki tersebut ditahan di Felda Menggong, Alor Gajah Melaka pada pukul 7.15 malam, semalam.

Jelas sumber, dalam satu transaksi terkini, SPRM Melaka mendapati suspek telah memasukkan wang biasiswa pelajar di sebuah sekolah agama milik kerajaan negeri bernilai lebih RM35,400 ke dalam akaun peribadinya.

Tambahnya, melalui semakan awal dokumen yang terlibat mendapati jumlah penyelewangan yang dilakukan oleh suspek sebelum ini telah mencecah hampir RM2.5 juta bagi penyaluran biasiswa untuk diagih-agihkan ke 77 sekolah di Melaka.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Melaka, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu namun enggan mengulas lanjut. - K! ONLINE