Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharuddin Mat Taib berkata, keputusan tersebut ditentukan oleh pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) selepas menilai dan meneliti kertas siasatan yang diserahkan pihaknya hari ini.

Katanya, suspek sebelum ini disambung reman selama tujuh hari bermula 29 Ogos lalu dan akan berakhir esok.

"Suspek berusia 68 tahun itu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kanak-kanak Putrajaya.

"Bagaimanapun, pendakwaan akan dilakukan mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan iaitu rogol menggunakan apa-apa objek berbanding sebelum ini mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol," katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Kosmo! sebelum ini melaporkan polis menahan seorang lelaki warga emas selepas disyaki merogol bayi perempuan berusia 11 bulan yang diasuh oleh menantunya dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Seksyen 24 di sini pada 20 Ogos lalu. - K! ONLINE