Difahamkan projek tersebut membabitkan pembekalan dan pemasangan panel tenaga solar kepada 369 buah sekolah di Sarawak yang bernilai RM1.25 bilion.

Menurut sumber, lelaki berusia 44 tahun telah dipanggil untuk memberi keterangan pada Isnin lalu namun telah ditahan dan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini pada Selasa lalu. 

“Dia disiasat kerana dipercayai mendapatkan wang jutaan ringgit dari syarikat yang berpangkalan di Bintulu yang dianugerahkan untuk memasang panel tenaga solar,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Dalam pada itu, Majistret Shah Wira Abdul Halim pada Selasa lalu membenarkan pihak SPRM untuk menahan reman lelaki tersebut selama empat hari dan berakhir hari ini. 

Difahamkan, pihak SPRM dijangka membuat permohonan untuk melanjutkan tempoh reman. 

Sebelum ini SPRM sudah menahan seramai tiga individu termasuk seorang pengarah syarikat bagi membantu siasatan berkaitan projek berkenaan. 

Skandal tersebut mencetus kontroversi apabila laporan sebuah portal berita, Sarawak Report, melaporkan pada Januari 2017, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah meluluskan projek tersebut kepada sebuah syarikat penyewaan kenderaan yang beroperasi di Bintulu, Sarawak, yang dikenali sebagai Jepak Holdings Sdn. Bhd.

Portal tersebut telah menyiarkan beberapa surat yang ditandatangani oleh Najib mengarahkan Kementerian Pendidikan untuk menganugerahkan projek dan membuat pembayaran terus kepada syarikat tersebut walaupun terma dalam kontrak tidak berjaya dipenuhi oleh syarikat terbabit.

Difahamkan, kakitangan Kementerian Pendidikan yang mempersoalkan tentang perkara tersebut telah ditukarkan daripada jawatan mereka. - K! ONLINE