Menurut sumber, suspek berusia 64 tahun itu ditahan kira-kira pukul 2.45 petang ini di Pejabat SPRM Johor Bahru ketika dipanggil untuk memberi keterangan dan membantu siasatan berhubung kes tersebut.

“Suspek juga merupakan seorang pengarah syarikat dan pernah didakwa di mahkamah atas kesalahan rasuah pada tahun lalu.

“Kali ini dia dipercayai terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram iaitu menerima, memindah dan menggunakan wang haram hasil rasuah menerusi akaun peribadi dan syarikat miliknya, saudara serta proksi,” katanya di sini hari ini.

Suspek merupakan bekas Naib Presiden MIC pada tahun 2013 hingga 2015. 

Difahamkan, suspek esok bakal menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Wang Haram (AMLATFPUAA) 2001 di Mahkamah Johor Bahru, Johor.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan mengenai tangkapan tersebut namun enggan mengulas lanjut. - K! ONLINE