Hakim Datuk Seri Mariana Yahya ketika menyampaikan hujah menerusi penghakimannya berkata, hukuman ke atas Abdul Moriff Zulkarnain, 30, dijatuhkan selepas mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah berhubung kes tersebut.

"Pihak pendakwaan pula berjaya membuktikan kes dengan melampaui keraguan munasabah. Mengikut peruntukan di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, hukuman gantung sampai dikenakan ke atas OKT (orang kena tuduh)," ujar Mariana.

Menurut fakta kes, Abdul Moriff dituduh memiliki dadah metamfetamin dengan kuantiti tersebut pada 1 November 2016 di sebuah rumah beralamat B1846, Lorong Sekilau 31 di sini kira-kira  pukul 11.30 pagi.

Ketika serbuan dilakukan ke atas rumah tersebut, polis menemui tujuh peket plastik lutsinar berisi dadah di dalam sebuah beg berwarna ungu yang turut mengandungi dompet berserta kad pengenalan tertuduh.

Kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Asyraf Md. Kamal, manakala tertuduh pula diwakili peguam Ghazali Ismail. - K! ONLINE