Tertuduh, Rozana Sawal, 41, dan Nor Sulastri Suratmi Bahrom, 22, masing-masing mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan terhadap mereka di hadapan Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin. 

Mengikut pertuduhan, Rozana didakwa menampar pipi seorang kanak-kanak berusia tiga tahun hingga terjatuh daripada kerusi dan menampar pipi seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun sebanyak dua kali.

Nor Sulastri pula berdepan pertuduhan menganiaya seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dengan cara mengangkat dan meletakkan mangsa di atas leher seorang kanak-kanak lelaki lain serta mencubitnya.

Tertuduh juga didakwa mengasari seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dengan mengangkat dan mengigit tangannya.

Kesemua perbuatan tersebut didakwa dilakukan oleh kedua-dua tertuduh pada pukul 9 hingga 11 pagi di tadika berkenaan. 

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga RM50, 000 atau kedua-duanya dengan tambahan berkelakuan baik selama tempoh atau syarat yang difikirkan patut oleh mahkamah dan melaksanakan khidmat masyarakat.

Mohd. Nasir membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM10, 000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan selain tidak mendekati saksi-saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 26 September depan untuk sebutan semula kes. - K! ONLINE
Habis