Noor Ehsanuddin, 56, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun, bagaimanapun tertuduh tidak mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan terbabit.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang juga bekas Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan sebagai penjawat awam telah menerima suatu benda berharga iaitu deposit tunai berjumlah RM50,000 melalui akaun Maybank miliknya daripada sebuah syarikat, Hidayah Karya Sdn. Bhd. 

Perbuatan itu didakwa Maybank cawangan Kluang pada 6 September 2013.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima suati benda berharga iaitu sebidang tanah berkeluasan 0.1421 hektar bernilai RM180,000 yang terletak di Lot 5876, Mukim Kota Tinggi daripada syarikat yang sama.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Tanah daerah Kota Tinggi pada 23 Mac 2014.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Khazrin Haffiz Khalil manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Thrichelvam dan Vincent Lawrence.

Terdahulu, Khazrin Haffiz mencadangkan jaminan dikenakan sebanyak RM40,000 dan tiada bantahan daripada peguam bela tertuduh.

Mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 27 Mac depan. - K! ONLINE.