Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden PH, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail ketika mengumumkan perkara itu berkata, Halimey, 46, merupakan anak tempatan.

"PRK DUN Seri Setia kali ini akan menggunakan buat pertama kali logo rasmi Pakatan Harapan. Saya minta pengundi DUN Seri Setia sekali lagi memberi peluang kepada calon kita dalam PRK ini," katanya ketika mengumumkan calon PH di sini malam ini. 

Turut hadir Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Wan Azizah berkata, terdapat 53,492 pengundi di DUN Seri Setia.

PRK DUN Seri Setia merupakan PRK ketiga diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), berikutan kematian penyandangnya Prof. Dr. Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos lepas.

Pada PRU-14, 9 Mei lalu, Shaharuddin daripada PKR mengalahkan tiga pencabarnya Datuk Yusoff HM Hanif (BN), Mohd. Ghazali Daud (PAS) dan calon Bebas, Dr S. Vignes dengan majoriti 19,372 undi. - Bernama