Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak berkata, FAMA akan melancarkan Program Jimat Belanja Aidiladha yang akan bermula di Putrajaya esok dan disusuli di seluruh negara.

"Orang ramai boleh mendapatkan bekalan bahan mentah di pasar tani FAMA dengan harga yang berpatutan. Jadi jangan risau bekalan tidak mencukupi," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Kursus Sumber Rezeki Baharu di sini, hari ini.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani serta Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Afif Bahardin ketika berucap merasmikan kursus itu berkata, kerajaan negeri dan FAMA sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti tanaman kelapa dan nanas di Pulau Pinang.

"Kerajaan negeri dan FAMA begitu proaktif dalam usaha untuk mengenal pasti lebih banyak kawasan untuk dijadikan tempat tanaman kelapa dan nanas yang dilihat mampu memberikan pulangan lumayan kepada golongan petani kontrak khususnya," kata Afif.

Beliau berkata, antara kawasan untuk tanaman kelapa dan nanas yang dikenal pasti ialah Balik Pulau, Juru dan Batu Kawan.