Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Zaidy Abdul Talib berkata, kerja-kerja pembaikan akan siap pukul 6 petang esok dengan pemulihan berperingkat akan bermula di dua buah kawasan iaitu Kuala Langat dan Hulu Selangor pukul 6 pagi pada Sabtu ini.

Katanya, empat kawasan lain iaitu Petaling, Gombak, Kuala Lumpur, Klang/Shah Alam pula menikmati bekalan air tersebut pukul 6 petang pada Ahad ini.

"Kerja-kerja pembaikan sedang giat dijalankan melalui 10 pasukan kontraktor yang telah dilantik susulan insiden letupan sistem mampatan udara loji Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) yang mengakibatkan lima batang paip sistem bersaiz 1,100 meter rosak.

"Pihak pengurusan Air Selangor telah mengaktifkan sembilan pusat khidmat setempat dan menambah jumlah kapasiti tanker kepada 96 buah dan 11 lori tangki jambo bagi membantu pelanggan-pelanggan yang terjejas," katanya pada sidang akhbar di Loji Pembersihan Air Bukit Badong sebentar tadi.

Menurut beliau, Air Selangor juga mendapatkan bantuan dari rakan operator air seperti Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS), Lembaga Air Perak (LAP), Syarikat Air Johor (SAJ), Syarikat Air Pulau Pinang (PBAPP), Syarikat Air Melaka (SAMB), Syarikat Air Kelantan (AKSB), Syarikat Air Darul Aman (SADA), Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), Syarikat Air Terengganu (SATU) serta pihak berkuasa tempatan. 

Jelasnya, punca gangguan bekalan air itu disebabkan empat unit pam air bersih tidak berfungsi dan mengalami kerosakan yang mengakibatkan penyusutan paras kolam imbangan Bukit Tadun pada 26 Januari lalu. - K! ONLINE