Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi, Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Abdul Raof Ahmad, dalam kenyataan malam tadi, berkata, proses pemulihan bekalan air secara berperingkat bergantung kepada lokasi geografi dan altitud premis pengguna.

"Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) yang dikendalikan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) telah beroperasi dengan purata kapasiti 830 juta liter sehari.

"Proses pengepaman bekalan ke Kolam Imbangan Bukit Tadun sedang giat dilaksanakan dan seterusnya penyaluran bekalan ke sistem utama dan kolam-kolam perkhidmatan bagi proses pemulihan," katanya.

Selasa lalu, Syabas memaklumkan beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air berikutan kerja-kerja pembaikan di SSP3 di Bestari Jaya, Kuala Selangor mulai 6 hingga 9 Mac.

Bagaimanapun, tempoh pemulihan berkenaan tersasar daripada jangkaan apabila Sistem Mampatan Udara di SSP3 gagal berfungsi dengan baik menyebabkan lima batang paip bersaiz 1,100 mm rosak dengan dua daripadanya pecah serta terpelanting keluar daripada strukturnya.

Kejadian itu menyebabkan 427 kawasan di sekitar Lembah Klang termasuk Shah Alam, Klang, Petaling, Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Langat dijangka terputus bekalan air sehingga Ahad ini. - Bernama