Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, bagaimanapun, tiga kawasan terjejas iaitu di Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Selangor hampir pulih sepenuhnya apabila masing-masing mencapai tahap pemulihan 99, 98, dan 95 peratus.

"Pemulihan gangguan bekalan air di kawasan Kuala Lumpur pula mencapai tahap 83 peratus; Petaling (85 peratus), Klang/Shah Alam (78 peratus) dan Kuala Langat (53 peratus).

"Sasaran seratus peratus pemulihan keseluruhan gangguan bekalan air di kawasan terjejas dijangka pada pukul 9 pagi Sabtu ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Abdul Raof berkata, lori-lori tangki masih digerakkan ke kawasan terjejas selain pengaktifan Pusat Khidmat Setempat (PKS) dan pili awam bagi menyalurkan bantuan kepada pengguna.

Dalam pada itu, pengguna yang telah menerima semula bekalan air diminta supaya menggunakannya dengan berhemah dan tidak membazir bagi membantu mempercepatkan proses pemulihan bekalan di keseluruhan kawasan, katanya.

Tambah beliau, pengguna juga boleh mendapatkan maklumat dan status terkini gangguan bekalan air melalui aplikasi 'Air Selangor' pada telefon pintar atau menerusi laman sesawang www.syabas.com.my, Facebook 'Air Selangor' dan Twitter @air_selangor.

Pada Ahad lepas, pencemaran diesel di Sungai Selangor mengakibatkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 serta LRA Rantau Panjang dekat sini terpaksa dihenti tugas yang mana menyebabkan gangguan bekalan air terhadap 1,191,942 akaun pelanggan di wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat. - Bernama