Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharudin Abdullah berkata, bayi tersebut ditemui kira-kira pukul 2 petang oleh tiga orang pekerja pembersihan yang sedang melakukan kerja-kerja membersihkan di kawasan sekitar.

“Anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dikejarkan ke lokasi bayi ditemui dan mendapati bayi tersebut masih bertali pusat dan dibalut dengan kain batik. 

“Bayi itu dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan dan pemantauan setelah kejadian tersebut dimaklumkan oleh pekerja yang menemuinya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shaharudin menambah, hasil pemeriksaan doktor mendapati bayi tersebut adalah bayi perempuan seberat 2.45 kilogram dan berada dalam keadaan sihat.

“Pemeriksaan lanjut ke atas bayi mendapati dia dianggarkan dilahirkan dalam tempoh 24 jam dari masa dijumpai.

“Bayi itu kini ditempatkan di Wad Kanak-Kanak Hospital Kuala Lumpur sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat,” ujarnya.

Tambahnya, satu laporan polis telah dibuat dan disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana mendedahkan dan membuang kanak-kanak yang umurnya kurang daripada 12 tahun oleh ibu bapa atau penjaganya. Jika didapati bersalah boleh dihukum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes tersebut boleh menyalurkannya kepada pegawai penyiasat kes, Inspektor Afrizal Aizat Md. Arif di talian 012-7883138. - K! ONLINE