Dalam kejadian kira-kira pukul 9.15 pagi itu, mangsa, Muhammad Fawwaz Mohd. Fadlan dikatakan menangis dengan kuat ketika sedang diberi makan makanan tersebut sebelum tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shariffuddin Yusuf berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku di laluan ke ruang dapur taska.

"Mangsa yang sedang diberi makan epal lenyek oleh pengasuh tiba-tiba menangis dengan kuat kerana dikatakan mahu mengikut penyelia pengasuh taska.

"Bayi itu kemudian tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke Klinik Kesihatan Kupang yang mana pada masa itu mangsa masih bernyawa," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, mangsa kemudian diminta supaya dirujuk ke Hospital Baling, bagaimanapun bayi itu disahkan telah meninggal dunia sebaik tiba di hospital berkenaan.

"Pemeriksaan ke atas tubuh badan mangsa mendapati tiada kesan luka atau lebam akibat perbuatan jenayah," ujarnya.

Tambahnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk dibedah siasat.

"Kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya. - K! ONLINE