Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, mangsa, Muhammad Aidil Amsyar Muhammad Hafizuddin dipercayai terjatuh semasa memanjat jeriji
tingkap bilik di rumah pengasuhnya.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata,  mangsa kemudian telah dibawa oleh pengasuhnya yang berusia 24 tahun itu ke Hospital Kuala Kangsar di sini untuk rawatan.

Katanya, bayi terbabit telah diberikan bantuan pernafasan (CPR) dan dimasukkan oksigen selama satu jam di hospital berkenaan namun disahkan meninggal dunia pada pukul 9.40 pagi.

"Bayi itu dihantar ke rumah pengasuh pada pukul 7 pagi oleh ibunya sebelum wanita itu diberitahu yang anaknya berada di hospital oleh ibu kepada pengasuh terbabit yang datang ke tempat kerjanya dua jam kemudian.

"Pengasuh memberitahu wanita itu yang bayinya bukan sahaja tidak sedarkan diri selepas terjatuh malah tidak memberi sebarang tindak balas meskipun dipanggil," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Difahamkan bayi berkenaan baharu sahaja dijaga oleh pengasuhnya itu sejak dua minggu lalu.

Menurut beliau, ketika kejadian hanya pengasuh dan anaknya yang berusia 12 bulan bersama mangsa di rumah berkenaan.

Katanya, siasatan yang dilakukan di tempat kejadian mendapati tiada sebarang kesan atau unsur jenayah.

"Hasil bedah siasat mengesahkan bayi itu meninggal dunia akibat masalah pada organ dalaman iaitu pankreas," katanya.

Kes disiasat me Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.