Kejadian disedari ibu mangsa berusia 32 tahun selepas menerima satu pesanan ringkas menerusi aplikasi WhatsApp daripada pengasuh wanita terbabit yang mengatakan terdapat kesan lebam pada tubuh kanak-kanak itu kira-kira pukul 10 pagi.

Ibu bayi yang merupakan seorang anggota polis di daerah ini kemudiannya membawa anaknya itu ke Hospital Kepala Batas untuk mendapatkan rawatan sebelum doktor mengesahkan yang mangsa disyaki telah didera.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, pihaknya juga telah menerima laporan daripada pihak hospital yang mengatakan telah menerima seorang pesakit kanak-kanak lelaki dengan terdapat kesan lebam pada dada dan perut seperti dicubit.

"Hasil siasatan awal, ibu mangsa memaklumkan yang dia telah menghantar anaknya itu dalam keadaan baik di rumah pengasuh berkenaan pada pukul 7 pagi hari sama.

"Polis kemudiannya telah membuat tangkapan ke atas pengasuh berusia 33 tahun dan hasil soal siasat terhadap wanita terbabit mengaku telah mencubit mangsa kerana tidak berhenti menangis sehingga membuatkan dia berasa geram," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Noorzainy, suspek kini ditahan reman selama lima hari mulai hari ini sehingga 25 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001. - K! ONLINE