Doktor-doktor Hospital Universiti di bandar Brno berkata, bayi perempuan itu lahir menerusi pembedahan Caesarean pada minggu ke-34 kehamilan, bulan lalu dan 117 hari selepas ibunya diisytiharkan mati otak.

Bayi seberat 2.13 kilogram itu merupakan antara bayi paling berat dan paling matang pernah dilahirkan oleh ibu yang mati otak.

Ibunya diisytiharkan mati otak selepas mengalami pendarahan pada April lepas ketika kandungannya berusia 16 minggu.

Doktor-doktor berusaha mengekalkan jantung, paru-paru, buah pinggang dan organ lain milik pesakit supaya terus berfungsi sementara mengawasi tumbesaran janinnya.

Beberapa jururawat ‘bercakap’ kepada bayi dalam kandungan itu, manakala neneknya pula membacakan cerita dongeng dan seorang juruterapi menggerakkan kaki ibunya untuk meniru gerakan berjalan.

Sistem sokongan hayat pesakit dimatikan selepas kelahiran tersebut.

Anak itu disusukan oleh ibu saudaranya yang turut mempunyai seorang bayi. - AFP