Bapanya, Nabil Fikri Anwar, 28, memaklumkan perkara itu melalui aplikasi Whatsapp berkata, Naufal Amsyar, yang juga bayi tunggalnya itu telah pulang ke rahmatullah.

"Assalamualaikum. Mohon sedekahkan Al-Fatihah buat anak saya Naufal Amsyar Bin Nabil Fikri yang telah kembali ke rahmatullah pada 9 pagi tadi," katanya hari ini.

Selasa lepas, bayi malang yang dijaga seorang pengasuh wanita berusia 35 tahun di Tangkak itu dimasukkan ke hospital selepas dipercayai diserang sawan.

Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan lebam lama dan baharu pada dahi kiri bayi selain pendarahan pada bahagian mata serta keretakan tempurung kepala.

Susulan daripada itu, Khamis lepas polis menahan pengasuh terbabit bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara hingga 10 tahun, atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan. - Bernama