Dalam kejadian pada pukul 10.30 pagi itu, kesemua penumpang terbabit terselamat dengan sempat keluar dari bas berkenaan namun semua beg dan barangan peribadi mereka yang diletakkan di ruangan bagasi musnah dalam kebakaran itu.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Setiu, Mohd. Sulaiman Merah berkata, sewaktu kejadian, bas ekspress berkenaan dalam perjalanan untuk membawa penumpang terbabit ke Klang, Selangor dari Kuala Besut dekat sini.

"Kebakaran yang dipercayai bermula dari bahagian belakang bas itu disedari pemandunya, Hilmi Mamat, 46, sewaktu tiba di persimpangan lampu isyarat Chalok dekat sini.

"Dia (Hilmi) cuba memadamkan kebakaran dengan alat pemadam api tetapi gagal sebaliknya api yang semakin marak," katanya kepada Kosmo! Online di sini hari ini.

Mohd. Sulaiman berkata, pemandu bas ekspres itu sempat mengarahkan kesemua penumpaang keluar untuk menyelamatkan diri.

Menurut beliau, Hilmi kemudiannya menghubungi pihak berkuasa untuk memohon bantuan sebelum berlaku letupan kecil akibat kebakaran berkenaan.

"Sepasukan bomba yang bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat berjaya memadamkan kebakaran tersebut dalam tempoh 25 minit.

"Kebakaran berkenaan menyebabkan bas ekspres dua tingkat terbabit musnah dalam 95 peratus. Punca kebakaran sedang disiasat," katanya.

Mohd. Suhaimi berkata, kesemua enam penumpang yang terlibat kemudiannya meneruskan perjalanannya dengan sebuah bas ekspres lain yang dalam perjalanan ke Kuala Terengganu. - K! ONLINE