Katanya, kepimpinan wilayah autonomi yang diwujudkan selepas ratifikasi Undang-Undang Organik Bangsamoro berkenaan juga berminat mempelajari cara Malaysia menyediakan peluang pekerjaan di wilayah itu serta kaedah menggalakkan kemasukan pelabur luar ke wilayah itu.

"Mereka (BARMM) mempunyai ramai pejuang yang dahulu tahu berperang sahaja tetapi sekarang ini pejuang-pejuang itu perlulah beralih kepada kerja-kerja pembangunan kawasan Mindanao," katanya kepada wartawan Malaysia pada akhir lawatan tiga harinya ke Filipina di sini hari ini.

Sebelum itu, Mahathir mengadakan perjumpaan dengan interim Ketua Menteri BARMM, Murad Ebrahim dan Pengerusi Pihak Berkuasa Pembangunan Mindanao, Datu Abdul Khayr Alonto.

Mahathir mengakui tidak mudah membangunkan semula wilayah Mindanao termasuk Marawi disebabkan kerosakan fizikal teruk yang dialami serta kesan psikologi daripada konflik bersenjata selama puluhan tahun namun ia masih boleh dilakukan melalui kesediaan semua pihak untuk memulakan kehidupan baharu. - Bernama