Sahruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Kepong berkata, beliau akan memilih barisan Exco baharu terdiri daripada mereka yang selesa bekerja dengannya.

"Apabila berlaku perubahan pucuk pimpinan, maka akan ada perubahan barisan Exco yang baharu, begitu juga Datuk Osman Sapian (bekas MB) memilih pasukannya jadi saya akan memilih pasukan portfolio saya.

"Saya akan memilih YB (barisan Exco) yang selesa bekerja dengan YB tersebut bagi memastikan rakyat negeri ini terbela dan menikmati kemajuan yang kita rancangkan," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kempas di sini hari ini.

Sahruddin berkata, pada kebiasaannya selepas pelantikan itu, Menteri Besar baharu harus melantik barisan Exco dalam tempoh 14 hari namun beliau memaklumkan akan menentukan barisan Exco yang baharu dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Sahruddin turut merakam sembah ucapan terima kasih kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di atas perkenan baginda melantik beliau sebagai Menteri Besar Johor ke-17 berkuat kuasa hari ini.

Menurutnya, beliau akan memikul tugas dan amanah yang diberikan dengan sepenuh hati selain memberi tumpuan terhadap kemajuan negeri serta nasib rakyat terbela. - K! ONLINE