Bapa remaja terbabit, Mohd Samuddin Mat Salleh, 50, berkata Mirsya Saffiyah yang hilang dari rumah pada 26 April lepas, ada menghubunginya pada 25 Julai lalu menggunakan nombor telefon negara jiran tersebut.

"Panggilan itu sekejap sahaja tidak sampai seminit memberitahu dia mahu pulang ke rumah tetapi tidak tahu dia berada di mana sebelum panggilan terputus. Semakan ke atas nombor telefon tersebut mendapati ia dari wilayah selatan Thai," katanya kepada pemberita di rumahnya di sini, hari ini.

Mohd Samuddin yang juga seorang guru, berkata suspek yang berusia 19 tahun itu mengenali Mirsya Saffiyah ketika anaknya berada di tingkatan satu sebuah sekolah menengah di sini.

"Suspek pernah melarikan anak saya pada 2016 namun dengan bantuan pihak polis, anak saya berjaya ditemui semula," katanya.

Katanya kali terakhir dia dan isteri yang juga seorang jururawat melihat anak mereka itu ialah  pada hari kejadian sebelum mereka berdua keluar bekerja manakala seorang lagi anak mereka  ke sekolah.

"Pada hari kejadian anak saya berada sendirian di rumah kerana membuat persiapan untuk mendaftar masuk ke kolej vokasional dan kami mengesyaki lelaki berkenaan datang ke rumah untuk melarikan anak saya dan membawanya ke selatan Thai untuk berkahwin. Selain itu kami juga mendapat maklumat lelaki berkenaan mempunyai anggota keluarga yang berasal dari sana," katanya.

Sebaik menyedari kehilangan anaknya itu, dia membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok serta menemui Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan bagi meminta bantuan polis mengesan dan membawa pulang anak gadisnya.

Mohd Samuddin juga meminta Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta orang ramai membantu mengesan dan membawa pulang anaknya itu.

Polis  pada Jun lalu dilaporkan berkata mereka sedang mengesan remaja lelaki berusia 19 tahun, dikenali sebagai Mohd Edry Farhan Suding dari Kampung Gelang Gelonggong, Beris Lalang, Bachok bagi membantu siasatan.

Orang ramai yang mengetahui atau menemui kedua-dua remaja terbabit boleh menghubungi talian 09-7788222 atau menghubungi Insp. Nazri Mohamad di talian 016 5555576 untuk menyalurkan maklumat. - Bernama