Muhamad Firdaus Saidon, 22  yang bekerja sebagai pemandu lori hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Muhamad Anas Mahadzir.

Lelaki itu didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian anaknya Nurul Ain Umairah  di No 893, Kampung Tok Panjang, Bukit Tengah di sini pada 10.45 pagi, 15 Februari lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 19 April ini  untuk sebutan semula kes bagi serahan laporan kimia dan bedah siasat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hamzah Azhan manakala tertuduh tidak diwakili.

Media sebelum ini melaporkan seorang bayi perempuan berusia 46 hari meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital, dipercayai akibat didera .
Berdasarkan  laporan bedah siasat yang dijalankan ke atas mayatnya, bayi itu meninggal dunia akibat pendarahan di luar otak  selain terdapat banyak kesan lebam, luka dan calar di badan. - Bernama