Dalam serbuan kira-kira pukul 4 petang itu berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM150,204.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Nor Azmi Isa berkata, dengan tertumpasnya dua penjenayah terbabit ia merupakan kejayaan terbesar polis dalam membanteras aktiviti penyalahgunaan najis dadah di daerah ini sehingga semalam.

Mengulas mengenai serbuan itu, beliau berkata, pihaknya berjaya menahan seorang warga emas berusia 64 tahun dan anak lelakinya berusia 37 tahun di dalam sebuah rumah sewa.

dadah
Nor Azmi (dua dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah disewa suspek pada sidang akhbar hari ini.

 

"Selain menahan kedua-dua suspek, kita turut merampas dadah bernilai RM150,204 terdiri daripada dadah jenis Syabu seberat 976.45 gram (g) bernilai RM146,467.50, Heroin 64.55g (RM1,936.50), Pil Eramin 5 30.49g (RM1,100) dan Pil Yaba 8.77g (RM700).

"Turut dirampas ialah tiga alat pelekat penutup (sealer), dua alat penimbang, empat balang kaca diubah suai untuk menghisap dadah, lima bungkusan plastik pelbagai saiz dan sejumlah tiub straw pelbagai warna," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Nor Azmi berkata, kedua-dua pasangan bapa dan anak tersebut sangat dikehendaki polis kerana terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah sekitar daerah itu.

"Hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan mereka direman selama tujuh hari bermula hari ini," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - K! ONLINE