Hakim, Datuk Siti Khadijah S. Hassan Barjenid membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh Hemy Faizal Mohtar, 36, di akhir kes pembelaan bagi pertuduhan pertama itu mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Tertuduh juga terlepas dari pertuduhan kedua dan ketiga di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 masing-masing atas kesalahan mengedar dadah jenis heroin (3.65 gram) yang dibaca bersama di bawah Seksyen 39A(2) serta memiliki dadah monoacetyle morphines seberat (0.16 gram) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama.

Kesalahan bagi pertuduhan satu hingga tiga itu didakwa dilakukan tertuduh kira-kira pukul 3 pagi di sebuah bengkel besi di Kampung Sungai Putat pada 25 Jun 2016.

Pihak pembela bagaimanapun gagal menimbulkan keraguan munasabah bagi pertuduhan keempat atas kesalahan memiliki dadah jenis methamphetamine (1.35 gram) dan didakwa mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM100,000.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 2.15 pagi di sebuah rumah di Jalan Tembusu, Taman Merdeka di sini pada 25 Jun 2016.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muzila Mohamed Arsad manakala tertuduh diwakili Peguam Haslinda Abu Bakar.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua belah pihak, Siti Khadijah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dari tempoh ditangkap iaitu 25 Jun 2016 dan denda RM30,000 atau penjara 18 bulan jika gagal bayar. - K! ONLINE