Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani serta Pembangunan Luar Bandar negeri, Afif Bahardin berkata, ia bagi memastikan nelayan dan keluarga mereka benar-benar mendapatkan barang keperluan asas daripada kedai-kedai terpilih mengikut had serta kelayakan yang ditetapkan.

"Cadangan pemansuhan bantuan sara hidup nelayan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu harus diteliti dengan wajar dan jujur. Hakikatnya ada banyak ruang penambahbaikan bagi dasar ini demi membela kehidupan serta nasib nelayan di seluruh negara.

"Saya berpandangan dasar bantuan sara hidup dalam bentuk pemberian wang tunai secara terus harus dihentikan dan diganti dengan dasar yang lebih bersasar seperti pemberian kad subsidi bantuan makanan serta barang keperluan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata langkah itu bukan saja menepati ciri dalam mewujudkan jaringan keselamatan kepada nelayan tetapi pada masa sama menjadikan ia program subsidi bersasar.

Afif berkata tindakan audit menyeluruh perlu dilaksanakan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi memastikan sebuah daftar nelayan yang bersih dan dikemaskini sahaja yang digunakan bagi mengurangkan salah guna serta ketirisan daripada terus berlaku.

"Selain itu, saya juga mencadangkan subsidi minyak kepada nelayan turut diberikan menerusi penggunaan kad pintar dengan kredit agar pembiayaan subsidi minyak lebih cekap serta telus. Langkah itu juga membolehkan hanya nelayan yang benar-benar layak menerima subsidi minyak diesel berdasarkan senarai daftar yang dikemaskini," katanya.

Sebuah portal berita yang memetik laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan Perdana Menteri berkata kerajaan berhasrat memansuhkan bantuan bulanan kepada 57,000 nelayan.

Bantuan sara hidup kepada nelayan yang berjumlah antara RM200 dan RM300 bermula Jun 2008 itu bertujuan meringankan bebanan kos sara hidup golongan nelayan. - Bernama