Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Datuk Abu Bakar Sahari berkata, penangguhan memasuki hari kedua itu melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Krubong di Melaka Tengah dan SK Belimbing Dalam, Alor Gajah.

"Sesi persekolahan kedua-dua sekolah ini terpaksa di tangguhkan lagi, bagi memberi ruang kepada mangsa-mangsa banjir menggunakan tempat itu sebagai PPS.  

"Selain itu, jumlah murid dan guru yang terjejas juga tinggi iaitu SK Krubong mencatatkan seramai 1,236 murid serta 71 guru manakala SK Belimbing Dalam seramai 484 murid dan 40 guru," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Jelasnya, bagaimanapun, guru yang tidak terlibat dengan bencana tersebut diminta hadir bertugas di sekolah seperti biasa. 

Sementara itu, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali dalam kenyataannya berkata, setakat pukul 8 malam tadi seramai 343 mangsa daripada 87 buah keluarga masih ditempatkan di SK Belimbing Dalam.

"Manakala di SK Krubong, seramai 221 keluarga daripada 55 keluarga masih ditempatkan di PPS berkenaaan.

"Secara keseluruhan, sebanyak lima PPS masih beroperasi di Alor Gajah dengan jumlah mangsa ditempatkan seramai 524 orang daripada 111 keluarga manakala satu lagi PPS di Melaka Tengah seramai 410 mangsa membabitkan 101 keluarga," katanya. - K! ONLINE