Antara kawasan yang terjejas ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Lepong Ajai, Sungai Liam Bakong, Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Sungai Rait, Rumah Panjang Lepong Ajai serta Taman Tunku di sini.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, hujan lebat sejak pukul 3 pagi tadi juga telah menyebabkan SK Lepong Ajai terpaksa ditutup apabila kawasan sekolah itu dinaiki air sedalam kira-kira 1.5 meter.

Katanya, penutupan sekolah itu telah menjejaskan seramai 89 murid dan 14 warga pendidik serta staf sokongan.

"Bagaimanapun, setakat pukul 9 pagi tadi, belum ada pemindahan mangsa banjir dilakukan memandangkan keadaan semakin terkawal.

"Hujan juga telah berhenti dan air semakin surut, namun pasukan bomba masih melakukan operasi pemantauan bagi memastikan tiada perkara tidak diingini berlaku," katanya ketika dihubungi hari ini.

Poh Kiong menambah, orang awam juga diminta berhati-hati dan membuat persediaan awal sekiranya berlaku banjir kilat di kawasan mereka. - K! ONLINE