Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Datuk Abu Bakar Sahari berkata, dua sekolah itu membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Belimbing Dalam, Alor Gajah dan SK Krubong di Melaka Tengah.

"Jumlah guru dan murid SK Krubong yang terjejas juga tinggi iaitu seramai 1,236 murid dan 71 guru manakala SK Belimbing Dalam melibatkan 484 murid serta 40 guru. 

"Bagaimanapun, hanya murid sahaja yang dibenarkan untuk tidak bersekolah hari ini manakala guru-guru yang tidak terlibat dengan bencana banjir ini diminta untuk bertugas seperti biasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Mengulas lanjut ujar Abu Bakar, sebuah lagi sekolah di Alor Gajah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pengkalan turut digunakan sebagai PPS dan menempatkan 122 mangsa daripada 34 buah keluarga.

"Bagaimanapun sesi persekolahan bagi semua pelajar dan guru sekolah tersebut berjalan seperti biasa," katanya. 

Sementara itu, Ketua Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali berkata, sehingga pukul 8 malam tadi, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,149 mangsa melibatkan 260 keluarga berbanding 745 mangsa dari 150 keluarga pada petangnya. - K! ONLINE