Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Selangor, antara kawasan yang terjejas akibat banjir kilat adalah di sekitar Taman Serdang Jaya, Taman Seri Serdang dan kawasan sekitar Universiti Putra Malaysia di sini.

“Turut terkesan adalah di sekitar kawasan Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Awan Besar dan Stesen Komuter Serdang yang menyebabkan kesesakan lalu lintas di beberapa laluan akibat dinaiki air.

“Beberapa anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Serdang telah dihantar ke lokasi kejadian dan setibanya di sana didapati kedalaman air adalah sedalam setengah meter,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kejadian itu tidak melibatkan sebarang mangsa dan  paras air juga telah surut tidak lama selepas  hujan berhenti.

Sementara itu, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di laman Facebooknya, kejadian tersebut menyebabkan laluan landasan komuter dari Stesen Kajang ke Serdang dan laluan Batu Caves ke Pulau Sebang dinaiki air.

“Ia telah menyebabkan kelewatan selama 30 minit daripada jadual asal.

“Tren komuter telah mula beroperasi kira-kira pukul 8.45 malam tadi namun pergerakannya masih perlahan. Pihak KTMB memohon maaf di atas segala kesulitan,” ujarnya.

Untuk sebarang maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan KTMB yang beroperasi 24 jam di talian 03-2267 1200. - K! ONLINE