Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, badan induk kebangsaan itu ketika ini tidak mahu membuat sebarang spekulasi tetapi akan membiarkan kepada pemain berkenaan, Zulfadli Zulkifli dan Tan Chun Seang untuk mengambil tindakan yang sewajarnya.

"Saya fikir mereka tahu kedudukan masing-masing. Saya melihat satu laporan yang menyatakan bahawa Zulfadli memberitahu bahawa orang perlu memahami dan mendengar kisahnya. Oleh itu, biar kita beri peluang kepadanya terlebih dahulu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara di sini hari ini.

Terdahulu, BWF mengenakan  hukuman gantung 20 tahun kepada Zulfadli dan 15 tahun kepada Chun Seang berkuat kuasa 12 Jan lalu selepas didapati bersalah mengatur perlawanan.

Kedua-dua  pemain tersebut turut didenda masing-masing US$25,000 (RM98,176) dan US$15,000 (RM58,905). - Bernama