Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, Salamah @ Norma Hamat, 51, turut rebah tidak sedarkan diri sehingga dipapah ahli keluarga selepas melihat api marak membakar rumahnya.

Salamah berkata, pada pukul 7 pagi tadi dia telah memulakan kerja menggoreng kerepek yang ditempah pelanggan sempena Hari Raya Aidilfitri ini.

Jelasnya, selepas selesai menggoreng kerepek kira-kira pukul 9 pagi, dia berasa tidak sihat dan pening kepala sebelum ke Klinik Kesihatan Meranto bersama seorang anaknya.

“Selepas selesai urusan di klinik saya pulang ke rumah. Setibanya di rumah saya terkejut dan rebah melihat asap hitam tebal membakar rumah. 300 bungkus kerepek pisang tempahan pelanggan bernilai RM150 turut musnah dalam kejadian itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Prak di sini hari ini.

Salamah berkata, dia tinggal bersama dua orang anak di rumah berkenaan manakala selebihnya sudah berumah tangga.

“Saya kerugian kira-kira RM10,000 apabila barangan elektrik seperti televisyen, peti sejuk, mesin basuh termasuklah sebuah motosikal jenis SYM hangus dalam kebakaran itu.

“Saya menganggap ini ujian bulan Ramadan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Anuar Abas ketika dihubungi memaklumkan pihaknya menerima laporan kejadian itu pada pukul 10.08 pagi dan seramai 14 anggota bersama dua jentera telah sampai ke lokasi kejadian pada pukul 10.41 pagi.

“Api dapat dikawal pada pukul 10.43 pagi dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 11.03 pagi. Punca kejadian masih dalam siasatan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya. - K! ONLINE.