Peguam Syarie Kamar Ainiah Kamaruzaman berkata, bantahan awal itu yang akan dikemukakan balu Jamaludin, Puan Sri Dr Kalsom Ismail, 62, dan empat anak allahyarham iaitu Ikwan Hafiz, 31, Nur Anis, 33, Nurul Alyaa, 27, dan Noor Adilla, 23, adalah bagi membatalkan permohonan yang dibuat ibu allahyarham, Aminah Abdullah, 84, pada 2 Mac lepas.

“Balu dan empat anak allahyarham akan kemuka bantahan awal untuk membatalkan permohonan (mendapatkan sijil faraid) dan pengurusan kes seterusnya adalah pada 15 Oktober ini,” katanya selepas prosiding pengurusan kes di dalam kamar Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, Siti Zulaiha Mohamad Mansor di sini, hari ini.

Kamar Ainiah yang mewakili Aminah berkata, hari ini mahkamah turut membenarkan permohonan balu dan anak-anak allahyarham untuk menjadi pencelah dalam permohonan mendapatkan sijil faraid itu.

Hadir sama pada prosiding hari ini adalah peguam syarie, Datuk Shamsuriah Sulaiman yang mewakili Kalsom, serta peguam syarie, Zuri Zabuddin Budiman yang mewakili Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa dan Noor Adilla. - Bernama