Hakim, Emelia Kaswati Mohamad Khalid membuat keputusan itu terhadap Muhammad Khairul Anuar Abdullah, 25, dan memerintahkan hukuman penjara itu bermula semalam.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Khairul dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas seorang wanita berusia 21 tahun menggunakan api di sebuah kebun kelapa sawit, Kampung Seri Aman, Sungai Besar antara pukul 11.30 malam pada 27 September 2015 hingga 12.30 pagi 28 September 2015.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun atau denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, Muhammad Khairul dan wanita berkenaan pernah bekerja bersama-sama di sebuah kedai pakaian dan aksesori berjenama di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang pada 2015.

Muhammad Khairul didakwa telah mengajak wanita itu untuk mencuri beberapa barangan di dalam kedai tersebut bagaimanapun, ditolak wanita berkenaan.

Berikutan itu, selang beberapa bulan tertuduh telah berjumpa dengan mangsa di sebuah perhentian bas di Damansara dan memaksa mangsa mengikutnya ke satu lokasi. Ketika di dalam kereta, mangsa telah dipukul dan dihentak kepalanya di papan pemuka.

Setibanya di kebun kelapa sawit di Sungai Besar, Sabak Bernam, tertuduh sekali lagi telah memukul mangsa sehingga pengsan dan telah mengheret mangsa keluar dari kereta dan mencurah petrol ke atas badan mangsa dan membakarnya. - K! ONLINE