Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, semakan awal pengisian borang pencalonan boleh dibuat di Pejabat Pegawai Pengurus iaitu di Pejabat Majlis Perbandaran Kajang atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Selangor sebelum hari penamaan calon.

"Tujuan semakan awal ini adalah untuk memastikan semua bakal calon mengisi borang tersebut dengan betul dan menepati syarat serta kelayakan yang ditetapkan bagi mengelak kesilapan pengisian borang sebelum hari penamaan calon.

"Langkah ini dapat menjamin proses penamaan calon pada hari penamaan calon berjalan lancar dan mengikut tempoh masa yang ditetapkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Azhar, semakan awal juga memberi peluang kepada parti-parti yang calonnya didapati tidak layak, untuk membuat persiapan sewajarnya pada hari penamaan calon.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kertas penamaan calon yang lengkap diisi dan disemak  hendaklah dikemukakan oleh bakal calon atau penyokong atau pencadangnya kepada pegawai pengurus pilihan raya semasa hari penamaan calon di pusat penamaan calon pada 16 Februari ini.

Bakal-bakal calon juga digesa membuat pembayaran deposit (deposit pilihan raya dan deposit bahan kempen) lebih awal.

"Bakal-bakal calon juga diminta mengambil pas-pas calon, pencadang dan penyokong selepas bayaran deposit dibuat bagi tujuan kebenaran memasuki pusat penamaan calon.

"Ini adalah untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan berjalan lancar pada hari penamaan calon kelak," katanya. - Bernama