Al-Sultan Abdullah menyaksikan perlawanan tersebut bersama kira-kira 600 tetamu yang hadir pada Majlis Santapan Malam Terima Kasih bersama petugas yang terlibat dengan Istiadat Pertabalan Seri Paduka  sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16. 

Turut menyaksikan perlawanan itu, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. 

Suasana di dalam Dewan Santapan Utama turut gamat seketika apabila beberapa percubaan Harimau Malaya hampir membolosi pintu gawang pasukan lawan.

Malaysia kini mengungguli saingan Kumpulan G dengan tiga mata mengatasi Thailand dan Vietnam dengan satu mata di tempat kedua dan ketiga sementara perlawanan hari ini merupakan aksi sulung buat pasukan UAE.

Pada aksi pertama kempen kelayakan itu, Malaysia meraih kemenangan 3-2 ke atas Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta, Khamis lepas.

Tetamu pada malam itu turut menerima 'hadiah istimewa' daripada Tunku Azizah yang berkenan menyanyikan lagu 'Kasih' yang dipopularkan oleh penyanyi Hetty Koes Endang. - Bernama