Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebuah syarikat China telah menyatakan hasrat untuk membuka kilang pemasangan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) bagi pasaran eksport dan memerlukan tanah seluas 40 hektar bagi tujuan itu.

Beliau berkata, syarikat automotif dari negara Tembok Besar itu akan bekerjasama dengan sebuah syarikat swasta tempatan untuk mendirikan kilang berdekatan muara Sungai Bernam di Hutan Melintang di sini.

"Apabila kilang itu siap kelak, saya difahamkan akan ada 2,000 peluang pekerjaan baharu diwujudkan dan saya telah meminta anak-anak Bagan Datuk diberi keutamaan bagi pekerjaan itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Malaysia Automotive Industry (MAI) Auto Festival di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hutan Melintang di sini hari ini. – Bernama