Gandingan itu yang merupakan wakil tunggal negara masih meneruskan cabaran pada kejohanan tersebut, mengulangi skrip sama ketika Terbuka Malaysia, minggu lepas, apabila menumpaskan Ricky Karandasuwardi-Pia Zebadiah Bernadet dari Indonesia dalam saingan suku akhir hari ini.

Bagaimanapun, Kiang Meng-Pei Jing terpaksa berhempas pulas sebelum meraih kemenangan dalam aksi tiga set; 22-20, 14-21, 21-18.

Sementara itu, pasangan nombor satu negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying gagal menempatkan diri ke separuh akhir kategori berkenaan setelah tumpas kepada gandingan Indonesia, Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja; 21-18, 12-21, 16-21.

Kiang Meng-Pei Jing akan berdepan pasangan Indonesia itu yang merupakan pilihan ketujuh, pada saingan separuh akhir esok.

Jika pasangan Malaysia itu berjaya mara ke final, Kiang Meng-Pei Jing yang merupakan pasangan bukan pilihan, akan berdepan sama ada pilihan pertama, Zheng Siwei-Huang Yaqiong dari China atau pilihan ketiga Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand, pada Ahad.

Pasangan Goh V Shem-Tan Wee Kiong turut gagal meloloskan diri ke separuh akhir acara beregu lelaki selepas tewas kepada juara All England, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia; 21-18, 16-21, 17-21.

Untuk rekod, setakat ini V Shem-Wee Kiong hanya meraih kemenangan pertama ke atas juara dunia dua kali itu semasa Perodua Malaysia Masters, Januari lepas.

Sementara itu, dalam acara perseorangan lelaki, pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2016, Chen Long dari China terpaksa akur di tangan pemain Indonesia Anthony Sinisuka Ginting; 8-21, 19-21.

Chen Long pernah menewaskan Ginting pada tahun ini semasa Perodua Malaysia Masters, namun rekod pertemuan kedua-dua pemain berkenaan masih berpihak kepada pemain Indonesia itu, setelah Chen Long hanya menang tiga daripada lapan perlawanan mereka.

Ginting akan berdepan pilihan kedua, Chou Tien Chen dari Taiwan pada aksi separuh akhir, manakala satu lagi pertemuan kelompok empat pemain terbaik itu antara pilihan pertama Kento Momota dari Jepun dan pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen dari Denmark. - Bernama