Azmin berkata, sebagai seorang ahli Parlimen PKR, Hassan tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan berbaur desakan terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad sebaliknya menumpukan kepada agenda pembangunan di kawasan masing-masing.

Katanya, barisan kepimpinan PKR telah menyatakan pendirian teguh dan sokongan penuh kepada Mahathir untuk meneruskan kepimpinan beliau sebagai Perdana Menteri.

"Soal Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri itu telah ditentukan oleh rakyat dalam pilihanraya umum yang lepas.

"Alhamdulillah, setahun kepimpinan Dr. Mahathir, kita telah meletakkan asas yang betul. Saya percaya sekarang ini adalah untuk pelaksanaan dasar-dasar yang telah ditetapkan," katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian selepas menyertai larian World Stats Congress 2019 di Dataran Merdeka bagi kategori lima kilometer di sini, hari ini.

Hassan Rabu lepas membuat desakan itu rentetan pelbagai polemik ketika ini.

Hassan mendakwa, Mahathir kini seolah hilang punca untuk berdepan dengan pelbagai isu terutamanya untuk mengendalikan isu tiga R iaitu isu kaum, agama dan raja.

Terdahulu, Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi melepaskan lebih 7,000 peserta larian sempena Kongres Statistik Sedunia, Institut Statistik Antarabangsa (ISI WSC 2019) ke-62 yang diadakan buat julung kalinya di Malaysia, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, bermula hari ini sehingga 23 Ogos. – Bernama