Mohamed Azmin berkata, beliau hanya mengetahui mengenai lantikan itu selepas dimaklumkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya hari ini.

"Saya ucap terima kasih kepada Tun Dr. Mahathir yang telah beri kepercayaan kepada saya untuk terajui sebuah kementerian yang kanan. Sudah tentulah beban tugas yang amat besar memandangkan usaha-usaha untuk memulihkan ekonomi negara pada hari ini.

"Namun saya telah menyembah maklum pada Sultan Selangor sebentar tadi tentang maklumat ini dan saya telah persembahkan pada tuanku bahawa saya akan adakan pertemuan dengan perdana menteri secepat mungkin malam ini juga atau selewat-lewatnya esok, untuk dapatkan penjelasan lebih lanjut mengenai skop tugas diamanahkan kepada saya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa Sultan Selangor bersama rakyat di Dewan Muzakarah dan Syarahan, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini malam ini. - Bernama