Luah pelakon berusia 42 tahun itu, dia bahkan masih kekok dengan perkataan popular dan berasakan masih boleh memakai kain pelikat jika hendak mengunjungi bazar Ramadan.

“Saya rasa biasa, dan kalau rasa mahu pakai kain pelikat jika mahu ke bazar Ramadan pun saya okey,” katanya bersahaja.

Azhan bagaimanapun tidak menafikan ada dalam kalangan rakan artis mengusik agar dia menjaga imej kerana sudah popular.

“Memang ada macam-macam reaksi peminat dan ada kata saya semakin popular. Sebenarnya saya sendiri kekok dengan perkataan popular. Saya tetap Azhan Rani, seorang sangat sederhana. Tetapi sejak akhir-akhir ini ada rakan pelakon menasihati saya agar jaga imej bila mahu keluar rumah,” katanya.

Ditanya soal kegilaan peminat wanita terhadapnya sementelah anak kelahiran Kuala Kubu Baru itu masih bujang, Azhan tidak menafikan ada peminat wanita yang sanggup menawarkan diri kepadanya.

“Kadangkala saya rasa pelik dengan keberanian mereka tetapi itulah yang berlaku, Saya cuma buat tidak peduli dan rasa kelakar pun ada juga,” katanya.

Drama Nur yang kini ditayangkan TV3 menjadi trending kerana menampilkan pengisian percintaan di antara seorang ustaz dengan pelacur.

Selain Azhan, naskhah arahan Shahrulezad Mohameddin itu turut dibintangi Amyra Rosli dan Syafiq Kyle. - K! ONLINE