Jabatan Perhilitan dalam satu kenyataan berkata, harimau belang itu disahkan mati di Pusat Menyelamat Hidupan Liar (NWRC) di Sungkai, Perak oleh doktor veterinar Jabatan Perhilitan dan bedah siasat akan dijalankan secepat mungkin.

Jelasnya, Jabatan Perhilitan tidak menolak kemungkinan Canine Distemper yang dijangkiti Awang Besol disebarkan oleh haiwan liar di sekitar Kampung Besol Lama.

“Canine Distemper merupakan penyakit disebabkan oleh virus yang mudah menyerang haiwan domestik iaitu anjing atau lain-lain hidupan liar termasuk spesies harimau.

“Jika penyakit ini terkena pada harimau ia akan menunjukkan tingkah laku tidak takut kepada manusia dan kebarangkalian ia untuk sembuh adalah sangat tipis,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Awang Besol diberi pemantau rapi di NWRC sejak 20 Julai lalu dan menunjukkan terdapat tanda-tanda klinikal neurologi iaitu tidak agresif, berpusing satu arah apabila berjalan, sawan serta tanda klinikal jangkitan saluran pemafasan iaitu nasal discaj. 

Jelasnya, rawatan secara simptomatik atau rawatan sokongan diberikan kepada harimau itu dengan persampelan darah, serum dan swab telah dilakukan.

”Sampel itu telah dihantar ke Institut Penyelidikan Veterinar (VRI) lpoh Perak pada Ahad lalu untuk ujian penuh dan keputusan diterima pada 22 Julai menunjukkan Awang Besol positif virus tersebut.

“Pelbagai usaha intensif untuk merawat dan menyelamatkan harimau itu dijalankan namun, Awang Besol disahkan telah mati kira-kira pukul 5.30 pagi tadi,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai kematian Awang Besol, kenyataan itu turut berkata, bagi memastikan keselamatan penduduk di sekitar Kampung Besol Lama, pihak Jabatan Perhilitan masih memantau kawasan tersebut dan memasang perangkap harimau. 

Ujarnya, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli menyeru orang ramai menyalurkan maklumat terus kepada Jabatan Perhilitan dengan menghubungi talian 1-800-88-5151 jika terserempak dengan harimau tersebut. 

Akhbar Kosmo! baru-baru ini melaporkan, Jabatan Perhilitan telah berjaya menangkap Awang Besol pada Jumaat lalu.

Pemeriksaan fizikal menemui kecederaan pada bahagian kaki, keradangan mata dan harimau berada dalam keadaan dehidrasi. 

Haiwan liar spesis Harimau Malaya itu telah dipindahkan ke NWRC di bagi mendapatkan rawatan intensif daripada doktor veterinar Jabatan Perhilitan dan dikuarantin. - K! ONLINE