Ia adalah sejenis awan yang lazimnya terbentuk di kawasan bukit dan gunung kesan daripada hasil pergerakan udara di kawasan tersebut.

Dimaklumkan, ia juga fenomena yang biasa berlaku di mana-mana kawasan bukit dan pergunungan pada ketinggian antara 6,500 - 16,500 kaki.

Jurucakap Jabatan Meteorologi Sabah berkata, awan lentikular terbentuk kesan daripada aliran udara lembap yang melalui 'penghalang' misalnya bukit atau gunung sehingga menyebabkan pembentukan awan seumpama itu. 

"Gelora angin kencang turut berlaku di kawasan pembentukan awan lentikular dan keadaan ini sedikit berbahaya pada pesawat yang melalui kawasan sekitar.

"Awan ini dapat dilihat sejauh 97 kilometer dari bawah bukit atau gunung yang berlaku pembentukannya," katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Terdahulu, semalam viral menerusi laman sosial Facebook, bentuk awan lentikular menyerupai UFO di puncak Gunung Kinabalu sehingga menjadi tumpuan orang ramai khususnya mereka yang berada di sekitar Kundasang. - K! ONLINE